Saturday, January 10, 2009

DATO’ HAJI GHAZALI ARSHAD Tokoh Pendakwah Perak




Pada tahun 1993 ketika penulis berpeluang mengunjungi Allahyarham Dato’ Haji Ghazali Arshad, almarhum sudah menjangkau usia 95 tahun. Masih sihat meskipun tahap pendengarannya agak terjejas tetapi mampu berbual dengan baik dan lancar. Sejurus selepas melewati waktu solat sunat dhuha, penulis tiba di pondok telaahnya (berdekatan dengan Sekolah Menengah Agama Irshadiah, Batu 26, Bagan Datoh) kelihatan Allahyarham tekun menelaah sebuah “kitab kuning”.Di kalangan ulama dahulu kala, kitab kuning merupakan bahan rujukan terpenting dalam pelbagai aspek ilmu yang bersangkutan dengan agama Islam.Penulis terpegun kerana dalam usia setua itu, Allahyarham masih giat menimba ilmu walaupun kudratnya kian berkurangan. Inilah sifat mulia yang ada pada Allahyarham “tuntutlah ilmu sehingga ke liang lahat” mengotakan suruhan agama Islam kepada setiap umatnya!Allahyarham cukup sederhana. Waktu itu dia berpakaian baju perak (T-Shirt nipis pagoda) dan berpakaian pelikat (pakaian lazim yang sering digunakan sebilangan besar orang-orang tua lelaki tradisional Melayu), dipinggangnya terbelit “tali pinggang haji” dan tanpa mengenakan perlindungan kepala sama ada songkok atau ketayap, dia duduk di sebuah kerusi usang bersebelahan jendela pondok telaahnya.Begitulah kegiatan Haji Ghazali sepanjang pagi yang hening dan bening itu. Barangkali dia bertemankan kitab-kitab agama mulai sesudah waktu subuh hinggalah menjelang zohor setiap hari. Kelaziman ini dilakukan setelah dia “bersara” daripada menumpukan perhatian sepenuh masa terhadap Sekolah Menengah Irshadiah akibat keuzurannya.Demikian cebisan pengalaman penulis bersama Allayarham Dato’ Haji Ghazali Haji Arshad yang begitu dikenali sebagai tokoh pendakwah Islamiah di Negeri Perak kerana lebih separuh daripada usianya dicurahkan semata-mata untuk menegak dan menyebarkan ajaran Islam.
Pencarian ilmu ke Makkah
Beliau dilahirkan pada 13 Rabiulakhir 1319H di Pasir Panjang Laut, Sitiawan, Perak dan mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu ketika berusia 7 tahun. Setelah tamat darjah lima, Allahyarham melanjutkan pelajarannya di sekolah pondok Lubuk Merbau kemudian ke pondok Haji Salleh Masri, Bukit Mertajam.Pada tahun 1922, dia melebarkan pencarian ilmu ke Makkah. Selama 10 tahun beliau mengaji di Madrasah Saulatiah di bawah asuhan alim ulama terkemuka. Semasa di sana, dia tidak hanya belajar tetapi sempat pula mengajar anak-anak didik yang berasal dari Indonesia, negara-negara Arab mahupun Patani, Selatan Siam. Ajarannya terutama bidang pengajian sistem halakah (menelaah kitab) atau dikenali juga sebagai sistem 2 “umumi”.Sekembali ke tanah air, iaitu pada tahun 1932, Allahyarham menubuhkan madrasah Irshadiah. Madrasah ini pada asalnya hanyalah sebuah bangsal kecil kenduri perkahwinannya dengan Puan hajah Zabedah Haji Salleh, anak seorang hartawan tempatan. Madrasah itu terletak di Kampong Matang Kunda, Bagan Datoh.Lantaran sokongan moral dan material yang dihulurkan oleh kekanda Hajah Zabedah iaitu Haji Arshad Haji Salleh terhadap penubuhan madrasah berkenaan telah mengilhamkan Haji Ghazali menamakan “Irshadiah” ke atas institusi tersebut semata-mata mengambil sempena nama abang iparnya yang berjasa itu.Pada peringkat awal penubuhan, Madrasah Irshadiah Addiniah memperkenalkan pengajian secara halakah dengan menawarkan mata pelajaran fekah, tasawuf, tajuid, hadis, tafsir di samping bahasa Arab.Ia kian berkembang dan pada tahun 1935 berpindah ke sebidang tanah wakaf di suatu tempat yang dipanggil Hujung Matang (kini dikenali sebagai Batu 26, Bagan Datoh) dengan hanya mempunyai 30 orang murid.Sejarah perkembangan madrasah ini selari dengan rentak kehidupan Haji Ghazali sendiri. Ia pernah ditutup seketika apabila Tanah Melayu dilanda kemaraan tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua kerana Allahyarham dan keluarganya terpaksa lari ke Sungai Manik, Teluk Intan.Namun setelah ia melewati masa silamnya, madrasah itu berubah wajah pada tahun 1960 dengan mendapat bangunan baru yang dibina hasil dari kutipan derma orang ramai serta kerjasama ahli Jawatankuasa yang dilantik daripada golongan para pelajarnya. Sepuluh tahun kemudian, ia berubah lagi dengan menampilkan nama baru iatu Sekolah Menengah Agama Irshadiah Persendirian.Perubahan ini termasuklah menawarkan dwi-pembelajaran iaitu bahagian arabiah yang diajar pada sesi pagi dan bahagian akademik di sebelah petang. Pendidikan Arabiah diajar sehingga peringkat Sijil Tinggi Agama (Syahadah Thanawi) dan diiktiraf oleh universiti-universiti Timur Tengah khususnya Al-Azhar, Mesir. Manakala pendidikan akademik pula serupa dengan sistem sekolah menengah kerajaan yang menyediakan pendidikan menengah rendah hingga ke peringkat menengah atas yang diwujud berdasarkan daya usaha Kesatuan Pelajar-pelajar Islam Perak (KPIP).Sekolah ini terus maju sebagai salah sebuah pusat pengajian agama terulung di Negeri Perak. Statistik tahun 1993 menunjukkan sekolah tersebut mempunyai seramai 674 pelajar yang dikendalikan kira-kira 36 orang tenaga pengajar yang mengajar 13 kelas sesi pagi dan petang. Kini, sekolah agama tersebut cukup “diminati” pelajar dari segenap pelusuk negara termasuklah dari Brunei Darussalam.
Pakar Rujuk
Sebagai seorang ulama yang berpandangan luas, Haji Ghazali sering menjadi rujukan lain-lain ulama yang ingin mendapat fatwa berkaitan sesuatu masalah, bahkan Jabatan Agama Islam Perak turut mengiktiraf Allahyarham sebagai pakar rujuk untuk persoalan agama. Umpamanya pada tahun 1976, Haji Ghazali dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Menilai Darjah Kealiman Calon-calon Mufti Kerajaan Negeri Perak.Namun sebelum itu, semasa pemerintahan Sultan Iskandar Syah Marhum Kaddasallah (1918-193 Sultan Perak ke-30 yang juga dikenali Sultan Alang Iskandar, baginda pernah melantik Haji Ghazali menganggotai Ahli Mesyuarat Ulama Perak yang jelas membuktikan keyakinan baginda terhadap kebolehan dan kepakaran Allahyarham berkaitan dengan agama Islam.
Pendakwah
Dalam mengembangkan dakwah Islamiah, Haji Ghazali membahagikan gerak-kerja pelaksanaan dakwah kepada dua jurusan. Pertama, dakwah khas yang dipanggil khasah dan yang kedua dakwah am yang dikenali sebagai amnah. Pun begitu bagi Allahyarham, khasah lebih diyakininya berpotensi melahirkan masyarakat Islam moden berbanding amnah kerana ia menekankan pendidikan yang bertubi kali.Dalam hal ini, Allahyarham berpegang kepada falsafah tersendiri dalam pelaksanaan dakwah. Katanya;
“Penuntut agama adalah umpama setandan buah kelapa, ada yang gugur dibuat gulai untuk orang lain dan ada juga yang gugur dan bercambah. Yang dibuat gulai itu menunjukkan kurang tersebar ilmunya manakala yang bercambah pula bagi orang yang dapat menyebarkan ilmunya sehingga dapat melahirkan para ilmuan.”
Sebenarnya, Haji Ghazali memiliki kemahiran dalam ilmu balaghah, mantik, falakiah, tafsir, hadis dan fekah. Justeru itu, dia pernah ditawarkan sebagai guru agama kepada Sultan Iskandar Shah dalam tahun 1935 tetapi menolak secara terhormat kerana “anak kandung yang paling disayanginya” iaitu Madrasah Irshadiah memerlukan bimbingan serta kepimpinannya tambahan pula ia baru sahaja ditubuhkan.Kemudian sekali lagi pada tahun 1964 dia ditawarkan jawatan Mufti Perak atas restu Sultan Idris Shah II tetapi ditolaknya juga secara lembut kerana Sekolah Agama Irshadiah perlukan komitmennya yang khusus demi perkembangan seterusnya.
Kebangkitan Ulama Perak
Ketokohan Haji Ghazali ada terpahat dalam sejarah kebangkitan ulama Perak. Nama beliau tergolong dalam Zaman Kedua, bermula selepas tahun 1918 hingga zaman pra-merdeka yang menyaksikan pada waktu itu sistem pengajian pondok beransur-ansur lenyap dan digantikan dengan institusi Islam atau madrasah.Dalam era peralihan allahyarham bersama-sama dengan barisan ulama silam seperti Ustaz Abu Bakar Baqir, Sheikh Junid Tola, Haji Abdul Samad Noh dan lain-lain berganding bahu mewarnai perkembangan dakwah Islamiah di Perak.Sejarah mencatatkan bahawa Haji Ghazali merupakan salah seorang pendiri madrarah yang terawal di zaman tersebut di samping sebagai pendakwah dan guru agama kepada sebilangan besar masyarakat Islam di Perak terutamanya penduduk-penduduk di sekitar Bagan Datoh.Bagi masyarakat Islam di Bagan Datoh serta sekitarnya, Allahyarham dikenali sebagai pakar rujuk berkaitan dengan permasalahan yang dihadapi oleh umat Islam setempat. Kepakaran dan kemahiran tinggi dalam banyak bidang mengenai Islam serta tekun dan sabar semasa menangani pelbagai karenah masyarakat Islam yang inginkan khidmatnya, telah memantapkan keyakinan dan kepercayaan penuh masyarakat tempatan terhadap allahyarham untuk menyelesaikan sebarang persoalan yang berbangkit.Keadaan ini telah meletakkan allahyarham sebagai seorang yang dihormati dan disegani oleh segenap lapisan masyarakat Islam khususnya di Bagan Datoh. Mereka bukan sahaja menghormati beliau sebagai ulama tetapi memandang tinggi dan menyanjungi allahyarham sebagai pendakwah yang tidak mengenali erti kepayahan, keperitan mahupun kegetiran malah sanggup berkorban apa sahaja demi mengembangkan syiar Islam.Atas sumbangan jasanya dalam penyebaran dakwah Islamiah, Haji Ghazali telah dinobatkan sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Negeri Perak pada tahun 1990. Kemuncak penganugerahan yang diperolehinya ialah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) daripada Sultan Perak yang membawa gelaran Dato’ pada 1992.Sesungguhnya anugerah yang diterima hanyalah merupakan sekalung penghargaan dan pengiktirafan masyarakat Islam di atas segala jasa dan pengorbanan beliau setelah berjuang sepanjang hayat sebagai pendakwah yang disegani walaupun pada hakikatnya allahyarham tidak meminta itu semua. Namun begitu, pada tahun 1997 Dato’ Haji Ghazali telah menghembuskan nafas terakhirnya ketika berusia 99 tahun di Bagan Datoh. Kepulangan allahyarham ke sisi Allah s.w.t ibarat terpadamnya sebutir bintang gemerlapan yang menyinari dakwah Islamiah di Perak Darul Ridzuan. Al-Fatihah buat allahyarham. - Zabidin Hj Ismail
Rujukan:
Fatimah Abu Bakar, Hj.Ghazali Gigih Berdakwah (Berita Perak, Nov-Dis.1989)Kertas Kerja : Sejarah Perak dalam Kebangkitan Ulama, (Jabatan Agama Islam Perak,1983)Zabidin Haji Ismail, Transkrip Biodata Penerima Anugerah Ma’al Hijrah 1414 Daerah Hilir Perak sempena Majlis Anugerah Maal Hijrah Peringkat Daerah Hilir Perak pada 19 Ogos 1993
Dikirim dalam Dato' Haji Ghazali Arshad Tokoh Pendakwah Perak, biografi Label: